Sunday, August 23, 2009

YOU CAME TO ME...

Lewat petang tadi saya menerima emel daripada Sami Yusuf Official.com menawarkan muat turun single terbaru Sami Yusuf - "You Came to Me". Muat turun percuma ini boleh diperolehi di web rasmi beliau (http://www.samiyusufofficial.com/).

Kepada rakan-rakan yang masih belum memiliki single terbaru beliau, bolehlah dengar dahulu di ruang video pilihan di sebelah. Pasti memuaskan! Sokonglah Hiburan Cara Islam!

Friday, August 21, 2009

HIKMAH PUASA MENURUT SAINS

Sumber : Harian Metro ( 21 Ogos 2009)



BULAN Ramadan sangat istimewa dalam takwim Islam. Keberkatan dan rahmat Allah memenuhi bulan ini. Pada masa inilah umat Islam diwajibkan berpuasa selama sebulan.


Firman Allah dalam Surah al-Baqarah ayat 183 yang bermaksud:“Wahai orang-orang yang beriman, kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu supaya kamu bertakwa.”



Demikian perintah Allah kepada kita agar melaksanakan ibadah berpuasa yang terangkum dalam Rukun Islam. Inilah yang dikatakan bahawa Ramadan itu adalah penghulu segala bulan sehinggakan ia sentiasa ditunggu-tunggu kehadirannya oleh kita semua. Kehadiran Ramadan membawa sinar keimanan yang mantap dan mengukuhkan ketakwaan. Jadikanlah Ramadan tetamu yang dirindui dalam kehidupan di dunia ini.



Ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan ini dapat diterjemahkan sebagai satu ibadah jasmani dan rohani. Ini kerana puasa bukan setakat menahan lapar dan dahaga tetapi dari sudut rohani menahan nafsu dan menjaga peribadi diri selaras dengan tuntutan agama. Dengan melaksanakan Rukun Islam ini kita dijanjikan Allah dengan pengampunan dosa yang lalu. Hal itu jelas dalam sabda Rasulullah bermaksud: “Sesiapa berpuasa Ramadan kerana iman dan mengharapkan pahala daripada Allah, nescaya diampunkan dosa-dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Muttafaq ‘alaih).



Begitulah tawaran istimewa yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang berpuasa di bulan Ramadan.



Di dalam satu hadis Qudsi yang bermaksud: “Semua amal anak-anak Adam untuk dirinya kecuali puasa. Puasa adalah untuk-Ku dan Aku yang memberi ganjaran atasnya.” Jadi, sempena Ramadan tahun ini marilah kita berusaha dengan bersungguh-sungguh menunaikannya sebagaimana dituntut agama. Hal itu semestinya meliputi segenap aspek kehidupan. Pada Ramadan inilah kita wajib bermuhasabah diri meneropong segala kelemahan diri dan dosa-dosa yang dilakukan pada bulan-bulan terdahulu, seterusnya menggilap semangat dan kekuatan hati untuk memantap iman.



Ibadah puasa khususnya pada Ramadan jika ditinjau daripada perspektif ilmu kesihatan dan perubatan juga mengandungi hikmah yang tersendiri. Malah, pakar-pakar perubatan bukan Islam turut mengakui puasa adalah satu kaedah perubatan yang mujarab kepada sistem tubuh manusia. Antaranya Dr Mac Fadon dari Amerika Syarikat (AS) yang menyatakan, puasa seperti tongkat ajaib yang dapat menyembuhkan penyakit yang membabitkan perut. Boleh dikatakan semua ahli perubatan di dunia ini menyatakan berpuasa menyihatkan tubuh badan manusia, malah kesihatan mental dan kekuatan rohani akan turut berganda dengan berpuasa.



Di India terdapat satu institut rawatan kesihatan yang melakukan promosi besar-besaran agar rakyat di negara itu mengamalkan puasa sebagai satu langkah pencegahan penyakit dan mengekalkan tahap kesihatan. Kajian sains perubatan mendapati berpuasa memainkan dua fungsi sekali gus iaitu sebagai kaedah perawatan ke atas penyakit dan sebagai langkah pencegahan. Hebat sungguh puasa ini dan kita sebagai umat Islam seharusnya menggunakan ruang dan peluang seluas-luasnya pada Ramadan untuk melaksanakan dengan penuh takwa kepada Allah.



Satu kajian yang telah dilakukan oleh seorang pakar perubatan dari AS, Dr Alan Cott menyatakan puasa mempengaruhi darjah kecerdasan seseorang. Beliau juga melakukan satu uji kaji ke atas sekumpulan orang yang berpuasa dan satu kumpulan yang tidak berpuasa. Hasilnya menakjubkan kerana mereka yang rajin berpuasa itu memperoleh markah jauh lebih tinggi berbanding yang tidak berpuasa.



Inilah bukti konkrit daripada segi sains moden bahawa puasa itu mengandungi seribu satu keajaiban. Ingatlah kita mengenai pesanan Lukman al-Hakim kepada anaknya yang katanya:



“Wahai anakku, apabila perut dipenuhi makanan, maka gelaplah fikiran, bisulah lidah daripada menuturkan hikmah (kebijaksanaan) dan malaslah segala anggota badan untuk beribadat. Makan yang kenyang itu menegangkan urat perut dan mengendurkan urat mata.” Maksud Lukman al-Hakim di sini ialah jika kita sentiasa kenyang, kesannya kita mudah mengantuk dan malas.



Jadi, ibadah puasa bertepatan dengan amalan baik dari segi kesihatan manusia. Sabda Rasulullah bermaksud: “Berpuasalah kamu agar kamu menjadi sihat.” (Hadis riwayat Ibnu Sunni dan Abu Nu’aim daripada Abu Hurairah). Apa yang penting sewaktu berpuasa ini kita hendaklah menjaga etika puasa itu. Jangan hanya setakat menahan lapar dan dahaga saja. Rasulullah bersabda; “Sesiapa berpuasa pada Ramadan dan mengetahui batas-batasnya (ketentuannya) serta memelihara perkara-perkara yang perlu dijaga, maka dihapus dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Al-Baihaqi ).



Apa perkara yang perlu dijaga semasa berpuasa? Seluruh anggota badan kita seharusnya turut berpuasa. Demikian juga dengan hati kita. Contohnya menjaga lidah agar jangan sewenang-wenangnya menuturkan kata-kata keji atau mengumpat sedangkan pada waktu itu kita sedang berpuasa. Jadi, apa maknanya kita berpuasa tetapi lidah kita laju mengeluarkan kata-kata keji atau mengumpat. Jawabnya, sia-sia ibadah puasa kita itu. Yang kita dapat hanyalah lapar dan dahaga tetapi kosong pahalanya.



Ingatlah amaran Rasulullah melalui sabdanya yang bermaksud: “Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan bohong dan berkelakuan buruk sedangkan ia berpuasa, baginya tidak ada kelebihan (pahala) di sisi Allah selain daripada lapar dan dahaga yang didapatinya.” (Hadis riwayat Bukhari). Oleh demikian berhati-hatilah kita semua dengan etika berpuasa itu agar kita tidak tercicir ganjaran besar pahala sebagaimana yang dijanjikan Allah. Allah mengarahkan kita supaya sentiasa bertutur kata yang baik dan sopan apatah lagi semasa kita sedang berpuasa Ramadan. Firman Allah dalam surah Al-Isra’ ayat 53 yang bermaksud: “Katakanlah kepada hamba-hamba-Ku, hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang lebih baik (benar). Sungguh syaitan itu menimbulkan perselisihan di antara mereka.” Sebaliknya dalam bulan Ramadan ini basahilah lidah dengan zikir dan bacaan al-Quran.



Pada Ramadan yang penuh berkat ini, latihlah diri dan pimpinlah hati kita dengan jalur kehidupan yang dituntut oleh agama. Jika kita berpuasa dengan kaedah sebagaimana diperintahkan Allah, puasa itu adalah ibarat perisai daripada godaan syaitan, malah ibadah kita akan menjadi gerbang menuju ketakwaan. Oleh itu, jadikanlah Ramadan ini sebagai bulan memantapkan iman untuk meraih kecemerlangan dunia dan kebahagiaan di akhirat. Marhabban Ya Ramadan.

Monday, August 17, 2009

Pandangan al-Qardhawi Terhadap Beberapa Isu Ramadhan


Adakah boleh ditetapkan awal Ramadhan melalui kiraan falak?


Dr. Yusof al-Qardhawi menyetujui pandangan Imam Taqiyuddin al-Subki, salah seorang ulama’ mazhab Syafie yang mengatakan bahawa apabila kiraan falak menyatakan kemustahilan dilihat anak bulan dengan pandangan mata, maka persaksian sesiapa yang mendakwa melihat anak bulan akan ditolak.

Beliau mengatakan bahawa ini juga adalah pandangan Syeikh Al-Azhar Muhammad Mustafa al-Maraghi dan pandangan seorang ulama’ hadis, Syeikh Syakir. Selain itu beliau juga membawakan kata-kata Ibnu Sarij yang mentafsirkan hadis: “Jika tidak jelas bagi kamu (cuaca buruk yang menghalang dari melihat anak bulan), maka taqdirkanlah” sebagai ‘jika tidak jelas bagi kamu, maka lakukanlah kiraan turun naik bulan.”


Dr. Yusof al-Qardhawi menyatakan bahawa kiraan falak boleh dijadikan sekurang-kurangnya sebagai hujah untuk menafikan awal Ramadhan. Dengan itu jika ahli falak mengatakan bahawa pada hujung hari ke 29 bulan Sya’ban, anak bulan mustahil akan kelihatan, maka tidaklah perlu dikumpulkan orang ramai dan dikeluarkan kos untuk meneropong anak bulan. Sebaliknya umat Islam hendaklah terus menyempurnakan 30 hari Sya’ban.


Beliau menguatkan hujahnya dengan sabda Rasulullah s.a.w.: “Kami kaum buta huruf yang tidak pandai mengira dan membaca.” Beliau menafsirkan hadis tersebut sebagai keadaan dan sebab kenapa di zaman Rasulullah s.a.w., awal Ramadhan ditentukan dengan melihat anak bulan.


Adapun hadis: “Berpuasalah apabila melihat anak bulan dan berbukalah apabila melihat anak bulan. Jika tidak jelas bagi kamu, sempurnakanlah 30 hari Sya’ban.” Beliau mentafsirkan hadis ini berdasarkan kaedah fiqh bahawa hadis ini menyatakan matlamat yang tetap dan wasilah yang boleh berubah. Matlamat yang tetap adalah penentuan awal Ramadhan. Wasilah yang berubah adalah persaksian anak bulan dengan menggunakan mata. Jika ada cara yang lebih baik dari persaksian mata, maka wasilah itu diterima. Kiraan falak di zaman ini sudah tentunya lebih tepat dan lebih baik dari persaksian mata.


Apakah hikmah puasa diwajibkan berdasarkan pusingan bulan (tahun hijrah) dan bukannya pusingan matahari (tahun Masehi)?


Dr. Yusof al-Qardhawi menerangkan bahawa di antara hikmah puasa tersebut diwajibkan berdasarkan pusingan bulan:


1. Tahun Islam diasaskan di atas pusingan bulan. Begitu juga hukum hakam yang lain seperti haul zakat, ibadah haji, iddah seorang wanita yang diceraikan suami dan sebagainya.


2. Ia lebih tobi’ie dan lebih mudah untuk dikira berdasarkan kemunculan bulan dan saiznya pada waktu malam.


3. Ramadhan kadang-kadang akan berselisih dengan musim panas atau musim sejuk atau musim-musim yang lain. Dengan itu seorang muslim kadang-kadang akan berpuasa pada waktu sejuk dan kadang-kadang pada waktu panas terik. Kadang-kadang di waktu yang siangnya panjang dan kadang-kadang di waktu siang pendek. Ia lebih seimbang dan mengukuhkan ketaatan seorang muslim kepada Tuhan dalam setiap keadaan.


Adakah puasa tetap sah jika seseorang melakukan maksiat ketika dia sedang berpuasa?


Dr. Yusof al-Qardhawi menolak pandangan Ibnu Hazm yang mengatakan bahawa maksiat akan membatalkan puasa seseorang seperti makan dan minum. Walau pun begitu beliau mengatakan bahawa maksiat yang dilakukan oleh seseorang yang berpuasa akan menghilangkan hasil yang diharapkan dari puasa tersebut.


Dengan itu yang terbaik adalah seseorang itu sentiasa berusaha untuk mencontohi puasa salafussoleh yang menjaga diri bukan sahaja dari makan dan minum tetapi sebaliknya dari perkara-perkara haram dan melalaikan.


Adakah wujud sebenarnya ‘waktu imsak’?


Dr. Yusof al-Qardhawi menyokong pandangan al-Hafiz Ibnu Hajar yang berkata: “Di antara bid’ah mungkar adalah apa yang dilakukan pada hari ini; iaitu dilaungkan azan sepertiga jam sebelum azan Subuh di dalam bulan Ramadhan dan dipadamkan api sebagai tanda haramnya makan dan minum bagi orang yang akan berpuasa. Mereka menyangka bahawa itu lebih berhati-hati di dalam ibadah. Tiada yang mengamalkan itu kecuali manusia-manusia awam (ulama’ tidak mengamalkannya). Cara berfikir sebegini juga telah menyebabkan mereka tidak azan kecuali setelah beberapa ketika selepas tenggelam matahari. Mereka melambatkan berbuka dan mengawalkan sahur. Dengan itu mereka melakukan amalan yang bercanggah dengan sunnah (melewatkan sahur dan menyegerakan berbuka).”


Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa ‘waktu imsak’ tersebut adalah suatu yang tidak perlu kerana ulama’ silam makan dan minum sehingga azan Subuh berkumandang.


Manakah yang lebih afdhal bagi seseorang yang musafir; berpuasa atau tidak berpuasa?


Dr. Yusof al-Qardhawi berpendapat bahawa seorang bermusafir boleh berbuka puasa walau pun perjalanan yang ditempuhi itu tidak memberikan apa-apa masyaqqah (keberatan dan beban) kepadanya. Ini kerana illah (sebab) diharuskan berbuka adalah perjalanan itu sendiri dan bukannya masyaqqah (keberatan dan beban).


Walau pun begitu yang manakah yang lebih afdhal?


Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa kaedah syara’ menyatakan bahawa mengambil rukhsah (keringanan) lebih afdhal dari tidak mengambilnya. Dengan itu seseorang yang bermusafir itu perlu untuk mengukur di manakah rukhsah (keringanan) bagi dirinya.


1. Jika beliau merasakan bahawa lebih ringan baginya untuk berpuasa bersama-sama orang Islam lain di dalam bulan Ramadhan lalu dia tidak perlu menggantikannya di luar bulan Ramadhan, maka afdhal baginya untuk berpuasa.


2. Jika beliau merasakan bahawa berbuka dan kemudian menggantikan puasa tersebut di luar Ramadhan lebih ringan, maka berbuka puasa lebih afdhal baginya.


Bilakah waktu berbuka bagi seseorang di dalam pesawat?


Dr. Yusof al-Qardhawi menegaskan bahawa waktu berbuka puasa bagi seseorang yang berada di dalam pesawat tidak sama dengan waktu berbuka puasa bagi mereka yang berada di atas daratan. Kesilapan sering dilakukan oleh peramugari dan juruterbang yang mengisytiharkan masuknya waktu Maghrib berdasarkan waktu di daratan.


Beliau mengatakan bahawa sebagaimana waktu Maghrib berbeza dari satu tempat berbanding tempat yang lain disebabkan oleh perbezaan kedudukan tempat tersebut (garis lintang dsb) di atas muka bumi, begitu juga waktu Maghrib berbeza berdasarkan ketinggian. Kemungkinan waktu Maghrib sudah masuk bagi penduduk satu-satu bandar , tetapi bagi penduduk yang tinggal di tempat tinggi di bandar yang sama masih lagi dapat melihat cahaya matahari dengan jelas.


Inilah juga fatwa Ibnu Abidin, salah seorang ulama’ mazhab Hanafi: “Sesiapa yang tinggal di kawasan yang tinggi seperti menara Iskandariah, beliau tidak boleh berbuka selagi tidak tenggelam matahari di tempatnya, manakala bagi penduduk negeri tersebut boleh berbuka jika matahari telah tenggelam di tempat mereka. Begitulah juga halnya dengan terbit matahari bagi sahur dan solat Subuh.”


Bilakah malam Lailatul Qadr?


Dr. Yusof al-Qardhawi mengatakan bahawa tidak ada pendapat yang pasti di dalam menentukan bilakah malam lailatul qadr. Al-Hafiz Ibnu Hajar mengatakan bahawa terdapat 46 pendapat ulama’ di dalam masalah ini.


Apa yang pasti ia adalah pada 10 malam yang terakhir dari bulan Ramadhan. Pendapat yang kuat adalah ia pada salah satu dari malam-malam ganjil dan kemungkinan tidak sama di antara satu tahun ke satu tahun berikutnya.


Jika Ramadhan tahun itu 30 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 21. Jika Ramadhan tahun itu 29 hari, maknanya 10 malam terakhir itu bermula dari malam ke 20.


Bolehkah zakat fitrah dikeluarkan di awal bulan Ramadhan (bukan sebelum solat Aidil Fitri seperti yang diamalkan oleh sebahagian umat Islam)?


Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Imam Syafie di dalam masalah ini. Imam Syafie berkata: “Harus dikeluarkan zakat bermula dari awal bulan Ramadhan kerana illah (sebab) kewajipan zakat adalah puasa dan berbuka.”


Dr. Yusof al-Qardhawi juga menambah bahawa masyarakat pada hari ini jauh lebih luas dan lebih rumit dari masyarakat di zaman Rasulullah s.aw. Ditambah pula jika zakat itu dikutip dan diagihkan oleh badan kerajaan atau mana-mana badan swasta, sudah tentulah ia memerlukan masa untuk menguruskan pengagihannya agar ia betul-betul dapat memenuhi keperluan si penerima zakat di hari Raya nanti.


Bolehkah wang menggantikan beras atau gandum di dalam zakat fitrah?

Imam Ahmad, Imam Malik dan Imam Abu Hanifah tidak membenarkan beras atau gandum tersebut diganti dengan wang tunai. Dr. Yusof al-Qardhawi mentarjihkan pandangan Ibnu al-Munzir yang mengharuskannya.


Di antara hujah yang diberikan oleh Dr. Yusof al-Qardhawi:


1. Rasulullah s.a.w. mewajibkan zakat fitrah dikeluarkan dalam bentuk tanaman kerana itu adalah yang termudah pada masa itu kerana wang pada zaman itu tidak banyak dimiliki oleh orang ramai


2. Wang akan berubah nilainya dari masa ke semasa sedangkan sukatan makanan lebih mudah untuk diukur


Dengan itu Dr. Yusof al-Qardhawi merumuskan bahawa bentuk pengeluaran zakat yang paling afdhal bergantung kepada yang manakah yang mudah dan lebih memenuhi keperluan penerima zakat. Apa yang jelas adalah wang lebih memenuhi keperluan penerima zakat kerana kerana wang bukan sahaja dapat memenuhi keperluannya kepada makanan sahaja sebaliknya boleh digunakan untuk membeli pakaian, keperluan Ramadhan dan keperluan hari raya.

Sunday, August 16, 2009

Telefon Bimbit Punca Pengguna Mudah Lupa

MELBOURNE - Satu kajian mendapati pengguna muda telefon bimbit kerap mempunyai ingatan kurang baik, tindak balas yang perlahan terhadap masa dan membuat banyak kesilapan.

Satu kajian di kalangan 300 pelajar berumur 12 hingga 14 tahun dari 20 sekolah swasta dan negeri di Melbourne baru-baru ini menunjukkan kanak-kanak yang banyak menggunakan telefon bimbit kemungkinan mengorbankan ketepatan bagi mencapai kelajuan.

Kajian oleh penyelidik dari Monash University itu menunjukkan kanak-kanak disifatkan sebagai pengguna telefon bimbit yang tinggi kemungkinan besar mempunyai kurang ingatan, bertindak perlahan terhadap sesuatu tanggungjawab dan melakukan lebih banyak kesilapan daripada para pelajar yang kurang menggunakan telefon bimbit.

Thursday, August 13, 2009

KHABAR MENGEJUTKAN...

Gambar kenangan bersama Al-Marhum Ustaz Asri dan Rabbani

Kira-kira jam 11.56 pagi saya menerima sms daripada isteri - "Asri Rabbani meninggal.." Tak lama kemudian saya terima lagi beberapa sms yang menyatakan perkara yang sama. Seperti rasa tidak percaya, saya terus menghubungi sahabat, Frizdan.. "Aku on the way ke Hospital Pantai... Ustaz Asri meninggal pagi tadi.."

Dalam keadaan yang agak tersentak dengan berita tersebut, fikiran saya tanpa diarah terus terkenang dengan arwah. Lagu-lagu dan zikir-zikir munajat yang beliau sampaikan bagai kedengaran di telinga ketika itu... Kehilangan beliau sangat dirasai walau hanya beberapa kali berkesempatan bertemu dan berbual dengan beliau. Sifat peramah dan mesra beliau membuatkan sesiapa sahaja tidak berasa kekok atau segan untuk mendekatinya. Saya mengikuti perkembangan beliau semenjak kemunculan beliau bersama kumpulan nasyid Nadamurni lagi. Malah caller ringtone dan ringtone telefon saya pun masih menggunakan lagu hits beliau ketika dulu.. "Munajat" dan "Impian Hamba".

Semoga beliau sentiasa dicucuri rahmat Allah SWT dan moga segala pengorbanan mendaulatkan hiburan Islam akan menjadi amal di sisi Allah dan menjadi bekal untuk bertemuNya nanti.
Al-Fatihah.

Thursday, August 6, 2009

Forum + Zikir Munajat + Ceramah Motivasi + Qiamullail

Dimaklumkan bahawa Masjid Negeri, Shah Alam akan mengadakan :

Forum Hal Ehwal Islam bersiri dan berselibus pada minggu kedua setiap bulan. Oleh itu bagi Bulan Syaaban ini forum perdana tersebut akan diadakan pada 8 Ogos 2009 bersamaan 17 Syaaban 1430 Hijrah Jam 9.00 malam. Panel-panel terdiri daripada Prof. Dato harun Din dan Dr Rubiah bte Kulub Hamzah serta dimoderatorkan oleh Dato' Dr Hasan bin Mohamed Ali dengan tajuk; "Melahirkan Generasi Yang Beriman".

Sehubungan itu juga, pada tarikh yang sama,pada waktu Maghrib akan diadakan Majlis Zikir Munajat yang akan dipimpin oleh Ust Othman Bin Ibrahim dari Sg petani dan Ceramah Motivasi Remaja yang akan disampaikan oleh Dato' Dr Hasan Bin Mohamed Ali.

Pada keesokkan paginya pula, pada jam 4.00 pagi akan diadakan"Qiamullail Perdana Remaja dan Keluarga", yang juga akan dipimpin oleh Ust Othman Bin Ibrahim.

Semua Muslimin dan Muslimat adalah dijemput hadir bersama-sama anak-anak dan keluarga ke majlis ini.