Wednesday, July 29, 2009

BAGAIMANA USRAH MENGUATKAN JAMAAH



Seringkali kita berusrah, tetapi kita akan mendapati jawapan yang berbeza antara ahli usrah mengenai konsep usrah yang dijalankan. Kemungkinan ini adalah sebab kenapa usrah yang dijalankan itu tidak mencapai matlamat yang telah digariskan oleh pimpinan parti.

Matlamat utama daripada usrah ialah membentuk kefahaman danmenyemai komitmen yang utuh kepada jamaah.

Soalnya bagaimana?

1. Usrah mengajar ahli agar mengenepikan kepentingan peribadi demi kepentingan jamaah.

Ahli terpaksa berkorban tenaga, masa dan wang ringgit kerana menghadiri usrah yang biasanya diadakan selepas waktu Isyak. Pada waktu ini, mata sudah mengantuk, badan sudah letih dan terasa ingin melempiaskan nafsu syahwat untuk berehat dan bersantai bersama program kegemaran di TV, terasa ingin menghabiskan borak-borak kosong bersama teman-teman, di samping para anak-anak dan isteri juga memerlukan perhatian dan belaian. Namun, digagahi juga untuk menghadiri usrah.

2. Usrah mengajar ahli agar memikirkan kepentingan orang lain berbanding kepentingan diri sendiri.

Manusia biasanya memikirkan dan mengutamakan kepentingan dirinya daripada orang lain. Usrah mengajar ahli agar memikirkan permasalahan umat Islam secara lebih serius dan lebih formal serta mengajak bagaimanakah caranya untuk menyelesaikan perkara itu. Ia bukan lagi untuk kepentingan diri sendiri, tetapi untuk kepentingan Islam. Oleh sebab itu, ahli tidak akan datang usrah sekiranya masalah peribadinya (diri sendiri, kewangan, rumah tangga) tidak selesai.

3. Usrah mengajar ahli agar bekerja demi Islam

Kehadiran dalam usrah bukan untuk dapat duit tetapi terpaksa menghabiskan duit. Dengan ini usrah mengajar bahawa penglibatan dalam gerakan Islam bukan kerana semangat atau kerana seseorang pimpinan tetapi kerana kefahaman Islam. Dengan ini dia sanggup hadir usrah dalam apa jua keadaan yang tidak mengharapkan sebarang pulangan dan keuntungan seperti mana solat, puasa dan haji tidak menjanjikan apa-apa pulangan keduniaan melainkan mengharapkan keredoan Allah semata-mata. Golongan ini akan berada di dalam perjuangan Islam sama ada susah atau pun senang, menang atau pun kalah, sakit atau pun sihat.

4. Usrah mengajar ahli kesatuan dalam gerak kerja

Ahli mendapat kefahaman bahawa kehadiran ke dalam usrah merupakan hasil ketaatan kepada kepimpinan kerana sebagai sebuah organisasi, ketaatan merupakan pra syarat penting untuk kejayaan. Di kala perjuangan Islam memerlukan perahan tenaga untuk menjalankan gerak kerja, maka ahli yang komited dengan usrah akan terus memberikan komitmen terbaik demi Islam. Kadang kala naqib di dalam usrah semacam membosankan dan kepimpinannya semacam dipertikaikan, tetapi ia terus memberikan ketaatan kepada naqib kerana menyedari semangat berorganisasi di samping terus memperbaiki keadaan yang sedia ada. Memang sukar untuk mencari naqib seperti Saidina Abu Bakar RA dan Said Bersambung ... ina Umar RA.


Tuesday, July 28, 2009

REHAT MINDA 2 (MENGENAL ALLAH)


Firman Allah SWT yang bermaksud : Dialah Allah Tuhanmu, tidak ada Tuhan melainkan Dia, Pencipta segala sesuatu, kerana itu hendaklah kamu menyembah Dia. (surah al-An'am : 102)

Mengenal Allah SWT boleh dicapai melalui pelbagai cara. Umpamanya dengan melihat dan memikirkan kejadian-kejadian yang berlaku di sekeliling kita dan juga penghayatan Asmaul Husna. Apabila kita berfikir tentang makhluk ciptaan Allah, kita dapat mengetahui bahawa hikmah yang ada pada ciptaan Allah ini berasal daripada Allah yang Maha Bijaksana, kepakaran daripada Tuhan yang Amat Mendalam PengetahuanNya, kekuatan daripada yang Maha Perkasa, kehidupan daripada yang Maha Menghidupkan, rezeki daripada yang Maha Memberi Rezeki dan sebagainya.

Justeru itu, modul mengenal Pencipta dan Pentadbir Alam ini iaitu Allah SWT perlu diberikan kepada setiap manusia sejak di usia kanak-kanak lagi. Kanak-kanak diibaratkan sebagai kain putih bersih yang perlu dibentuk untuk mengenal dan mengetahui hakikat ketuhanan sebagai asas tauhid yang kukuh.
(Dipetik daripada buku "Indahnya Hidup Bersyariat" karya Dato' Ismail Kamus)

Saturday, July 25, 2009

KECELARUAN HALATUJU


Sebagai individu muslim yang diberi petunjuk pasti tidak akan lupa melafazkan akujanji di hadapan Allah SWT Tuhan Maha Pencipta sekalian alam. Akujanji pertama yang bernama Dua Kalimah Syahadah membuktikan suatu penyaksian tanpa belah bahagi terhadap keesaan Allah SWT dan Rasulullah sebagai utusan Allah. Kemudian ditambah lagi dengan akujanji yang dilafazkan di permulaan solat iaitu Doa Iftitah. Melalui doa Iftitah kita menyatakan halatuju hidup dan mati kita hanya kerana Allah SWT.

Berpegang kepada akujanji ini akan membentuk jiwa hamba yang patuh dan taat kepada Tuhannya, redho dengan segala ketentuanNya dan senantiasa mendamba taufiq hidayahNya. Jika akujanji ini sentiasa terpatri di hati kita maka jelaslah halatuju dan matlamat kehidupan kita sebagai seorang hamba.

Namun apa yang dikesalkan, terdapat juga segelintir umat Islam yang turut melafazkan akujanji ini tetapi tanpa segan silu menyertakan akujanji yang lain yang amat kontra berbanding yang sepatutnya sebagaimana gambar di atas. Tidak perlu peduli siapakah insan itu atau di masjid mana tragedi itu berlaku, sebaliknya marilah kita menginsafi diri rupa-rupanya kemudahan media yang dikatakan serba maju hari ini masih belum mampu memberi faham kepada ummat yang hadhari ini. Renung-renungkan dan selamat beramal...

Wednesday, July 22, 2009

PELANCARAN TABUNG BANTUAN SAIF


Pihak Ummah Care dengan rasminya melancarkan Tabung Bantuan SAIF bagi meringankan bebanan pihak pengurusan SAIF setelah kebakaran yang dialami Sekolah Integrasi Faizin (SAIF) Guar Chempedak kira- kira jam 10.00 pagi 17 Julai 2009 yang lalu dan menyebabkan kerugian yang sangat teruk . Anggaran pihak bomba sebanyak RM550,000. Nantikan kupasan berita sepenuhnya . Untuk penyumbang2 yg ingin menyalurkan sumbangan/bantuan/derma/sedekah anda melalui Ummah Care sila berbuat demikian melalui -->BANK ISLAM MALAYSIA BERHAD – 12047010045924 dan sms ke nombor 0134845788 setelah berbuat demikian.

Terima kasih atas keprihatinan anda.

Ummah Care : Peneraju Kasih Ummah

Tuesday, July 21, 2009

REHAT MINDA 1 (CARA HIDUP ISLAM)


Mendidik kanak-kanak khususnya yang berada di pra sekolah atau tahap satu memerlukan si pendidik memiliki skil yang pelbagai, idea yang kreatif dan paling penting tahap kesabaran yang tinggi.

Mendidik kanak-kanak dengan hanya berbekalkan kapur dan suara mungkin menyebabkan si pendidik berasa berada di sebuah bilik kuliah berhawa dingin dan berhadapan dengan mahasiswa mahasiswi. Bercakap tanpa henti seolah-olah memberi ceramah dan mengharapkan si kanak-kanak yang berusia 5, 6 tahun itu faham apa yang dicakapkan. Agak-agak apa yang kanak-kanak itu dapat? Paling sadis apabila dimarahnya pula kanak-kanak itu apabila mereka tidur atau berbuat bising.

Justeru itu, sebagai seorang pendidik yang kreatif dan proaktif, menyediakan bahan bantu mengajar dalam apa jua cara boleh dianggap wajib dalam mendidik. Dengan kemudahan ict yang ada, pelbagai bahan bantu boleh digunakan dalam pengajaran dan pembelajaran. Cuma terpulang kepada si pendidik... rajin atau... tak cukup masa!

Sunday, July 19, 2009

PROGRAM GERAKAN MEMBACA PERINGKAT DAERAH PETALING 2009

Para peserta Pertandingan Tulisan Jawi sedang mendengar taklimat daripada Ketua Hakim

Barisan hakim yang adil lagi saksama dan bergaya sedang meneliti skrip jawapan peserta pertandingan.

Tarikh Program : 18 Julai 2009 (Sabtu)
Tempat : The Summit, Subang USJ
Perasmian : YB Pn. Hannah Yeoh Tseow Suan (Adun Subang Jaya)
Anjuran : Perpustakaan Negeri Selangor

Pada program tersebut saya dan beberapa rakan telah dijemput untuk menjadi hakim bagi pertandingan Tulisan Jawi. Pertandingan ini telah dibahagikan kepada dua katogeri iaitu remaja (murid sekolah menengah) dan dewasa (18 tahun ke atas).

Para peserta dikehendaki menukar teks rumi yang diberikan kepada tulisan jawi dan penilaian dibuat berdasarkan kepada ketepatan ejaan, seni tulisan dan kekemasan. Daripada penilaian yang dibuat, saya mendapati kebanyakan peserta mampu menguasai tulisan jawi dengan baik. Mungkin para peserta yang mewakili sekolah atau jabatan-jabatan tertentu terdiri daripada mereka yang sudah biasa mengamalkan tulisan jawi dan yang paling penting minat mempelajari tulisan jawi.

Semoga program yang sangat baik ini akan diteruskan pada tahun-tahun yang akan datang demi memartabatkan lagi tulisan jawi di negara kita.

Friday, July 17, 2009

Sikap Abu Lahab dan Abu Jahal masa kini terhadap Isra' Mikraj

Oleh : Ustaz Faisal Ashaari

(Berikut adalah artikel yang saya panjangkan daripada blog naqib saya untuk renungan sahabat-sahabat. Beliau boleh dilawati di blog beliau - myfaisalonline.blogspot.com atau nak senang klik je kat pautan blog beliau yang saya sediakan di kolum my choices di bawah...)

Sekarang ini ialah musim penganjuran ceramah isra’ mikraj. Hampir semua masjid dan surau di seluruh Malaysia menganjurkan sambutan memperingati peristiwa ini yang berlaku pada bulan Rejab menurut kebanyakan pandangan ulama.

Salah satu pengajaran utama yang boleh diambil daripada peristiwa ini ialah menerima perintah daripada agama biarpun ia nampak bertentangan dengan akal manusia.

Peristiwa ini mencabar kewarasan rasional manusia kerana mana mungkin perjalanan antara Mekah dan Palestin yang biasanya pada ketika itu mengambil masa berbulan-bulan dapat dilakukan oleh Rasulullah dalam masa satu malam sahaja. Tidakkah dakwaan ini merupakan membawa suatu dakwaan yang gila, tidak berasas dan tidak dapat diterima akal manusia yang waras. Sekiranya ada dakwaan jiran kita yang mengatakan dia pergi ke London malam tadi dan balik malam tadi juga, pastinya kita akan mengatakan dia sudah mereng, tiga suku dan sebagainya.

Terdapat ramai yang kurang yakin bahawa

1. Bila kita memberi derma, kita akan dapat balik apa yang kita berikan itu. Kalau tidak didunia, di akhirat kita akan dapat.

Lojiknya – Kalau kita bagi derma, duit kita akan habis. Sebab itu, ramai yang teragak-agak untuk memberikan derma, sedekah, wakaf dan sebagainya. Takut duit habis.

Sedangkan Islam kata, lagi derma lagi akan dapat. Hadis menyebut: Malaikat akan mendoakan “berilah kepada orang yang menderma itu ganti, dan kepada orang yang kedekut itu musnah”.

2. Puasa membawa kepada kesihatan.

Lojiknya – kalau puasa, badan akan letih dan tidak berdaya. Sebab itu, ramai yang merungut menjelang bulan puasa dan ramai juga yang malas untuk berpuasa sunat, kalau dah tahu badan ada banyak penyakit.

Tapi Rasulullah kata “Puasalah, nescaya kamu akan sihat”.

Ini dalam perkara yang telah dijelaskan hikmahnya secara jelas di dalam hadis. Itu pun manusia malas dan liat nak melaksanakannya. Terdapat banyak lagi suruhan lain yang Allah tidak mendedahkan hikmahnya kepada manusia, tetapi manusia masih kajian yang dilakukan oleh manusia membuktikan bahawa ia bermanafaat kepada manusia. Contohnya, kajian yang dilakukan oleh Jabatan Kejuruteraan Biomedikal Universiti Malaya. Kajian ini mendapati setiap gerakan solat mempunyai manfaat tersendiri yang mampu meningkatkan tahap kesihatan secara menyeluruh. Salah seorang daripada pengkajinya ialah bukan Islam iaitu Siew Chok.

Dengan kata lain, perintah Allah itu membawa kebaikan kepada manusia. Janganlah banyak songeh.

1. Islam kata, judi itu haram. Akal kata, kalau suka sama suka apa salahnya.

2. Islam kata, arak itu haram. Akal kata, kalau ia membawa kepada kesihatan iaitu memanaskan badan, apa salahnya.

3. Islam kata, tutuplah aurat. Akal kata, kalau tutup aurat pun, hati tidak baik pun tak guna juga.

4. Islam kata, laksakan hukum Islam seperti hudud. Akal kata, kalau hukum denda dan penjara kepada pencuri dapat memberikan pengajaran kepada manusia apa salahnya.

Kalaulah manusia yang banyak songeh ini wujud pada zaman Rasulullah, mungkinkah mereka berada di posisi Abu Jahal dan Abu Lahab yang menolak kebenaran peristiwa isra’ dan mikraj. Bukan di posisi Abu Bakar yang memperakui kebenaran baginda Rasulullah.

Wednesday, July 15, 2009

Indahnya Hidup Bersyariat

"Indahnya Hidup Bersyariat" adalah merupakan judul sebuah buku yang memuatkan modul Fardhu Ain diri, keluarga dan masyarakat sepanjang hayat. Buku yang diterbitkan oleh Telaga Biru Sdn. Bhd ini dihasilkan daripada kolaborasi mantap Al-Fadzil Ustaz Dato' Ismail Kamus dan Ustaz Mohd Azrul Azlen Ab. Hamid (Pensyarah Pusat Matrikulasi UIAM).

Mengapa dikatakan panduan Sepanjang Hayat adalah kerana ia mengandungi satu pakej modul yang lengkap, ringkas, padat dan bergambar. Bermula dengan Syariat Kelahiran sehinggalah Syariat Bermasyarakat yang turut menyentuh persoalan pengurusan jenazah dan sebagainya. Di akhir bab buku ini disertakan juga panduan sunat-sunat harian sepanjang masa. Berikut adalah beberapa topik dan dibincangkan di dalam buku ini :

1) Syariat Kelahiran
2) Pendidikan Awal Kanak-kanak
3) Syariat berkaitanRemaja
4) Fardhu Ain Asas (Bersuci, Solat, Puasa, Zakat, Haji, Umrah, Sembelihan, Korban)
5) Munakahat

Dengan berbelanja RM55.00 untuk buku ini saya berpendapat ia sangat-sangat berbaloi dan anda pasti tidak akan menyesal setelah memilikinya. Buku ini amat sesuai untuk rujukan institusi pendidikan di semua peringkat serta boleh dijadikan bahan tazkirah dalam laman blog anda. Saya bukan ape, cuma nak tolong promosi benda-benda yang bagus!

Tuesday, July 14, 2009

Tiada di Pasaran...



"Persembahan Kumpulan Nasyid IZDAN sempena Malam Kesenian Islam anjuran Persatuan Mahasiswa Akademik Pengajian Islam UM Nilam Puri."
[ 12 Disember 1998 ]

Kenangan yang paling indah : Dapat menyampaikan beberapa lagu original IZDAN (ciptaan Fizarahman aka Frizdan)

Kenangan paling tragis : Kumpulan IZDAN dikejar oleh Big Boss APIUM Nilam Puri ketika itu (Ust Mat Noor Deris) - akibat masih 'warming up' walaupun dah nak azan maghrib. Maklumlah nak buat 'Nasyid on Stage' malam tu! (salah kitaorg jugak..)

Video klip ini kudedikasikan untuk x IZDAN - Zukhairi, Indera, Fiza, Ayob, Anis, Suhaimi, Esri, Chain, Mat Noor, Fadzil, Fareez, Izwan dan termasuk fan club sekali!

Saturday, July 11, 2009

SOLAT DHUHA SEBAGAI ROH REZEKI

Oleh ZUARIDA MOHYIN

REZEKI melimpah, halal dan berkat adalah dambaan atau keinginan setiap orang, apatah lagi disertakan dengan kedudukan yang mulia dan ilmu yang bermanfaat.

Namun untuk mencapai kenyataan itu bukanlah mudah. Ini kerana wang yang melimpah dan kedudukan yang tinggi bukanlah sesuatu yang dapat membawa serta menjamin keberkatan hidup yang sejati.

Ini membuktikan rezeki yang melimpah tidak menjamin kehidupan yang berkat. Rezeki yang melimpah juga tidak menjamin hidup yang harmoni, bahagia dan tenang.

Allah berfirman: Sekiranya Allah melapangkan rezeki kepada hamba-hambanya tentulah mereka melampaui batas pada muka bumi tetapi Allah menurunkan apa yang dikehendakinya dengan ukuran tertentu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Melihat keadaan hamba-hamba- Nya. (asy-Syura: 27)

Kita sering melihat orang yang diberi rezeki yang melimpah tetapi menggunakan kekayaan mereka bagi mengingkari Allah, membelanjakan pada jalan sesat dan digunakan bagi mencari tempat di neraka. Bukankah itu kebodohan yang nyata?

Sedangkan kita selalu diingatkan serta dinasihatkan oleh Allah supaya memakan rezeki yang baik dan jangan mengikut jejak syaitan. Sesungguhnya, syaitan adalah musuh yang nyata.

Rezeki yang halal dan berkat dapat membawa manusia menuju ketenteraman hati. Ia juga dapat membawa kemuliaan di sisi Allah. Insya-Allah, kita dapat mencapainya dengan mengerjakan solat duha.

Solat Duha adalah solat yang berkait rapat dengan rezeki sama ada dipermudahkan rezeki, rezeki yang diberkati, kemanfaatan rezeki dan pahala yang tinggi nilainya. Manakala di akhirat pula, Allah menyediakan pintu khusus baginya memasuki syurga.

Hal ini telah dijelaskan dalam banyak hadis Rasulullah SAW. Nabi pernah berwasiat kepada sahabat terdekatnya iaitu Abu Dzar al-Ghifari supaya melaksanakan solat Duha, solat Witir dan puasa tiga hari dalam setiap tengah bulan..

Kekasihku Muhammad berwasiat kepadaku supaya berpuasa tiga hari pada setiap bulan, mengerjakan solat duha dua rakaat dan solat witir sebelum tidur. (riwayat Bukhari, Muslim dan Abu Daud daripada Abu Hurairah)

Pun begitu, kita perlu menyedari bahawa solat duha dilakukan bukan semata-mata mengharapkan rezeki, ia dapat mendekatkan diri kepada Allah.

Yang pasti, solat duha menambah amal soleh. Malah Allah turut akan mengampunkan dosa-dosa kita, seandainya ia dikerjakan secara istiqamah.

Lantaran itu, kekuatan spiritual yang terdapat dalam solat ini mempengaruhi kepentingan duniawi dan ukhrawi. Secara tidak langsung, ia memenuhi dua aspek iaitu kepentingan bagi kejayaan di dunia dan kebahagiaan

di akhirat kelak.

Oleh itu, tidak hairanlah mengapa Nabi Muhammad SAW banyak menganjurkan amalan solat duha ini. Bertepatan dengan seruan itu, PTS Millennia Sdn. Bhd. telah mengambil inisiatif menerbitkan buku berjudul Magnet Rezeki dengan Solat Duha yang telah diterjemahkan daripada buku Menyingkap Mukjizat Shalat Dhuha karya Muhammad Mokhtar.

Buku ini memotivasikan kita agar tidak sahaja kaya wang tetapi pada masa sama membina kekayaan jiwa demi kebahagiaan di sana.

Ia juga membongkar rahsia memperoleh rezeki yang melimpah-ruah melalui wahana solat duha. Ia membuka perspektif baru mengenai rezeki dan kekayaan bagi seorang Muslim.

Disokong dengan bukti-bukti yang menjelaskan bahawa melalui solat duha yang istiqamah, sesiapa sahaja mampu memperoleh rezeki yang berganda dan diberkati.