Friday, December 25, 2009
CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA
Thursday, December 3, 2009
Kenapa manusia diuji oleh Allah SWT?
Dalam ayat kedua surah al-Mulk, Allah berfirman yang bermaksud: "Dia (Allah) yang mencipta kematian dan kehidupan bertujuan untuk menguji siapakah di kalangan kamu yang paling amalannya."
Ayat ini menunjukkan, bahawa setiap daripada kita tidak terlepas atau dibiarkan begitu sahaja tanpa diuji oleh Allah, ia tidak lain adalah untuk mengetahui kebenaran iman kita kepada-Nya atau sebaliknya, hakikat ini telah disingkap oleh Allah menerusi ayat 2-3 surah al-Ankabut yang bermaksud: “Apakah manusia menyangka bahawa mereka dibiarkan dengan berkata, kami beriman kepada Allah, sedangkan mereka tidak diuji lagi. Sesungguhnya Kami (Allah) telah menguji orang-orang terdahulu daripada mereka semata-mata untuk mengetahui mereka benar-benar beriman atau mereka berdusta untuk beriman kepada Allah.”
Tetapi kenapa manusia diuji, apakah hikmah atau rahsia di sebalik ujian yang diterima?
Para ulama bersepakat, bahawa hikmah yang boleh disimpulkan dalam forum ini, antaranya :
1- Untuk mencapai pengabdian hakiki kepada Allah SWT.
2- Ujian yang menimpa umat Islam secara khusus, adalah untuk mematangkan mereka dalam kehidupan di muka bumi ini.
3- Bertujuan untuk menghapuskan dosa yang dilakukan oleh manusia.
4- Bertujuan untuk memperolehi pahala serta memartabatkan kedudukan mereka di sisi Allah SWT.
5- Dengan adanya ujian, ia memberi peluang kepada manusia untuk memikirkan akan segala kesalahan yang dilakukan pada diri sendiri dan orang lain di masa lampau.
6- Ujian merupakan satu pengajaran untuk kembali bertauhidkan kepada Allah.
7- Ujian juga mampu untuk menghilangkan rasa ego dalam diri dan menyediakan jalan untuk mendekati Allah.
8- Ujian ditimpakan ke atas manusia adalah untuk menyedarkan mereka akan kelebihan yang ada pada diri mereka setelah diuji.
9- Ujian juga berperanan untuk mendidik manusia menjadi matang dan mantap dalam segenap aspek kehidupan mereka.
10- Untuk mengenal kawan sebenar atau kawan yang berkepentingan, ia boleh didapati setelah adanya ujian daripada Allah.
11- Ujian juga mampu untuk mengingatkan manusia akan segala kesalahan sebagai persiapan untuk bertaubat kepada Allah.
12- Ujian mampu menyingkap hakikat sebenar dunia yang menjanjikan pelbagai tipu daya.
13- Ujian mampu untuk mengingatkan manusia akan kelebihan nikmat kesihatan dan kurniaan Allah.
Friday, November 20, 2009
Monday, November 16, 2009
Tuesday, October 20, 2009
Tuesday, October 6, 2009
ERTI SEBUAH KEGAGALAN.. HONDA
Jika kita lihat kenderaan di jalanraya, pasti mata kita selalu ternampak kenderaan-kenderaan Honda, sama ada kereta mahupun motosikal. Bilangan kenderaan ini amat banyak dan kerana mungkin sebab itu ia layak digelarkan ‘raja jalanan’.
Namun, pernahkah anda tahu bahawa pengasas perniagaan Honda, Soichiro Honda, selalu mengalami kegagalan sewaktu menjalani kehidupannya sejak kecil sehinggalah lahirnya sebuah industri permotoran bertaraf antarabangsa itu?
Dia bahkan tidak layak menjadi seorang jurutera, dia bukannya siswa yang memiliki otak cemerlang. Sebaliknya di dalam kelas, duduknya tidak pernah di depan, selalu jauh dari pandangan guru-gurunya.
Sewaktu memulakan perniagaannya, Soichiro Honda selalu ditimpa kegagalan. Dia pernah jatuh sakit, kehabisan wang dan juga diberhentikan dari kuliah. Namun begitu, dia terus bermimpi dan bermimpi. Dan akhirnya, impian itu akhirnya mencapai kenyataan dengan ketekunan dan kerja keras.
“Gredku amat rendah di sekolah. Tetapi saya tidak bersedih kerana dunia saya di sekitar mesin, kereta dan motorsikal,” ujar Soichiro yang meninggal pada usia 84 tahun, setelah dirawat di RS Juntendo, Tokyo akibat penyakit hati.
Cintanya pada mesin, jelas diwarisi dari ayahnya yang membuka bengkel membaiki alatan pertanian di dusun Kamyo, daerah Shizuko, Jepun Tengah. Di kawasan inilah dia lahir. Sewaktu bermain di bengkel, ayahnya selalu memberi catut (kakak tua) untuk mencabut paku. Dia juga sering bermain di tempat menggiling padi melihat mesin yang menjadi motor penggeraknya.
Di situ, lelaki kelahiran 17 November 1906 ini dapat berdiam diri berjam-jam, tidak seperti kawan sebayanya waktu itu yang lebih banyak menghabiskan waktu bermain penuh gembira. Dia memang telah menunjukkan keunikan sejak dari kecil lagi. Contohnya, aktiviti nekad yang dilakukannya pada usia 8 tahun iaitu dengan berbasikal sejauh 10 batu yang dilakukan semata-mata ingin menyaksikan kapal terbang.
Berbasikal memang telah menjadi salah satu hobinya semasa kanak-kanak. Hasilnya, ketika 12 tahun, Soichiro Honda berhasil mencipta sebuah basikal dengan model ‘rem kaki’.
Pada saat itu, di benaknya belum muncul lagi impian untuk menjadi seorang usahawan automotif kerana dia sedar dirinya berasal dari keluarga yang miskin. Tambahan pula, fizikalnya yang lemah dan rupanya yang tidak tampan sehingga membuatnya selalu rendah diri.
Pada usia 15 tahun, Honda berhijrah ke kota untuk bekerja di Hart Shokai Company. Majikannya, Saka Kibara amat senang melihat cara kerjanya. Honda amat teliti dan cekap dalam soal mesin. Setiap bunyi mesin yang mencurigakan, setitis minyak yang bocor tidak luput dari perhatiannya.
Enam tahun bekerja di situ menambah pengalamannya tentang mesin. Akhirnya, pada usia 21 tahun, Saka Kibara mengusulkan supaya membuka suatu cawangan bengkel baru di Hamamatsu. Tawaran ini tidak ditolaknya.
Di Hamamatsu, prestasi kerjanya semakin meningkat. Dia selalu menerima tawaran membaiki mesin-mesin yang ditolak oleh bengkel-bengkel lain. Kerjanya yang cepat memperbaiki mesin pelanggan sehingga berjalan kembali. Kerana itu, jam kerjanya selalu tamat pada larut malam dan kadang-kadang sehingga subuh.
Yang menariknya, walaupun bekerja keras, otak geniusnya tetap kreatif. Kecerdasannya membuahkan hasil.
Pada zaman itu, ruji-ruji mesin dibuat dari kayu dan tidak tahan lama untuk menahan kesan goncangan. Menyedari ini, Soichiro menggantikan ruji-ruji kayu ini dengan logam. Hasilnya amat luar biasa. Ruji-ruji rekaannya tahan lama dan dieksport ke seluruh dunia.
Pada usia 30 tahun, Honda menandatangani patennya yang pertama. Setelah mencipta ruji, Honda ingin melepaskan diri dari bosnya dan mengusahakan bengkelnya sendiri. Mulai saat itu dia berfikir apakah kepakaran yang ingin dipilihnya? Otaknya tertarik kepada pembuatan ring piston yang dihasilkan oleh bengkelnya sendiri pada 1938.
Lalu ditawarkan ciptaannya itu ke beberapa kilang automotif tetapi ciptaannya itu ditolak oleh Toyota kerana dianggap tidak memenuhi standard. Ring Piston buatannya tidak lentur dan tidak laku dijual. Reaksi teman-temannya terhadap kegagalan itu membuatkan dirinya menyesal kerana keluar dari bengkel milik Saka Kibara.
Akibat kegagalan itu, Honda jatuh sakit yang sangat serius. Dua bulan kemudian, kesihatannya pulih dan dia kembali ke bengkelnya. Tetapi, soal ring piston itu masih belum ada penyelesaiannya. Demi mencari jawapan, dia melanjutkan pelajaran untuk menambah pengetahuannya tentang mesin.
Pada siang hari, setelah tamat kuliah, dia terus ke bengkel mempraktikkan pengetahuan yang baru diperoleh. Tetapi setelah dua tahun menjadi mahasiswa, dia akhirnya diberhentikan kerana jarang mengikuti kuliah.
“Saya merasa amat bosan kerana ketika lapar tidak diberikan makan, sebaliknya dileteri berkenaan tentang hukum makanan dan pengaruhnya terhadap kesihatan,” ujar Honda.
Kepada pensyarahnya, dia menjelaskan bahawa kuliahnya bukannya untuk mendapatkan ijazah tetapi untuk mendapatkan pengetahuan. Penjelasan ini dianggap sebagai penghinaan oleh pensyarahnya.
Tetapi diberhentikan dari pusat pengajian tinggi bukanlah titik akhir segalanya. Berkat kerja kerasnya, rekaan Ring Pistonnya diterima Toyota yang langsung memberikan kontrak kepadanya. Hal ini membuatkan Honda berhasrat untuk mendirikan kilang mesin.
Tetapi hasratnya itu kandas. Pada masa itu, Jepun sedang terlibat dalam Perang Dunia Kedua dan kerajaan Jepun tidak memberikan dana kepada masyarakat. Honda tidak menyerah kalah.
Dia lalu nekad mengumpulkan modal dari sekumpulan orang untuk mendirikan kilang. Namun lagi-lagi musibah menimpanya. Setelah perang meletus, kilangnya terbakar sebanyak dua kali.
Honda tidak pernah patah semangat. Dia bergegas mengumpulkan para pekerjanya. Mereka diperintahkan mengambil tong-tong minyak yang dibuang oleh kapal Amerika Syarikat untuk digunakan sebagai bahan mendirikan kilang.
Tanpa diduga, gempa bumi melanda dan menghancurkan kilangnya sehingga diputuskannya untuk menjual kilang ring pistonnya ke Toyota. Setelah itu, Honda mencuba beberapa perniagaan lain tetapi tidak berjaya.
Akhirnya, pada tahun 1947, setelah tamat perang, Jepun kekurangan minyak petrol. Pada masa ini, keadaan ekonomi Jepun amat kucar-kacir sehingga Honda tidak dapat menjual keretanya akibat krisis ekonomi ini padahal dia ingin menjual kereta itu untuk membeli makanan bagi keluarganya.
Dalam keadaan terdesak, dia kembali kepada basikal lamanya. Dia mengubahsuai basikalnya dengan memasang motor kecil pada basikal itu. Siapa sangka, basikal bermotor itu diminati oleh jiran-jirannya.
Para jiran dan keluarganya memesan basikal bermotornya dengan banyak sehinggakan Honda kehabisan stok. Lalu Honda kembali mendirikan sebuah kilang motor.
Sejak itu, kejayaan tidak pernah lari dari tangannya. Dari motosikal, perusahaannya berkembang sehingga berjaya mengeluarkan kereta untuk pasaran antarabangsa.
Semasa hidupnya, Honda selalu menyatakan supaya jangan dahulu melihat kejayaannya dalam cabaran industri automotif sebaliknya lihatlah kegagalan-kegagalan yang dialaminya.
“Orang yang melihat kejayaan saya hanya satu peratus. Tetapi mereka tidak melihat 99 peratus kegagalan saya,” tuturnya.
Ia memberikan petua, “Ketika anda mengalami kegagalan, maka segeralah mulai kembali bermimpi dan mimpikanlah mimpi baru.”
Jelas kisah Honda ini merupakan contoh terbaik bahawa kejayaan itu boleh diraih oleh seseorang dengan modal seadanya, tidak pintar di sekolah dan hanya berasal dari keluarga miskin.
Thursday, September 17, 2009
SYABAS WTF!
LAUSANNE, Switzerland 17 Sept. - Persekutuan Teakwondo Dunia (WTF) berharap keputusan membenarkan wanita Muslim memakai tudung bertanding dalam kejohanan itu akan membantu meningkatkan penyertaan wanita pada kejohanan dunia akan datang.
Perubahan peraturan pertandingan yang dibuat oleh badan pertubuhan itu pada Januari lalu sekali gus memansuhkan larangan ke atas wanita bertudung daripada bertanding.
“Ini bermakna sukan taekwondo akan mempastikan ia adalah sukan yang boleh disertai oleh lelaki dan wanita Muslim seluruh dunia,” kata pengerusi WTF, Dae Won Moon. - AP
1FIKRAH - Apa pula tindakan 1Malaysia dalam menjaga maruah para atlet wanita muslimah di negara kita?